Photobucket

Islamic Widget

Friday, August 14, 2009

Didik Anak dengan naluri kasih sayang




Membinakan seorang insan yang soleh jauh lebih sukar dari membina sebuah bangunan yang hebat. Pembinaan bangunan terjamin lancar dan berjaya jika cukup kepakaran dan dananya. Pembinaan manusia belum pasti berjaya dengan kepakaran paling hebat dan kewangan yang melimpah ruah. Mendidik seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Memang ia sukar dan meletihkan. Kalau tidak kerana limpahan naluri kasih sayang yang Allah semai di hati si ibu dan si ayah, mungkin tiada ibu dan bapa yang sedia menjaga dan mendidik anak.


Naluri kasih sayang tentunya menjadi bekal pendorong dalam mendidik anak. Bayangkan jika manusia, terutamanya ibu dan ayah tidak ada rasa cinta pada anak-anak. Mereka akan melihat anak-anak seperti mereka melihat kayu dan batu. Bahkan mereka mungkin akan menganggap si anak sebagai beban yang menyusahkan. Tentunya berat untuk mereka mendidik, bahkan menjaga mereka. Bersyukurlah kepada Allah yang mengurniakan rasa sayang kepada anak dan sekelian kanak-kanak. Inilah bekal motivasi semulajadi dalam kita mendidik anak-anak.

Di mana letaknya kasih sayang?


Tentunya ia soalan yang sukar untuk ditanggapi. Payah untuk kita mengesan di mana letakkan rasa sayang.


Umum mempercayai ia terletak di hati. Hati di sini bukannya hati fizikal. Bukan juga jantung. Hakikatnya ia adalah satu perasaan halus yang ada di sanubari manusia. Rasa semulajadi yang menyuntik bayu damai dan bahagia. Inilah nikmat Allah yang indah. Allah jadikannya bukan sia-sia. Tujuannya, agar rasa kasih sayang itu digarap sebagai pendorong ibu bapa dalam mendidik dan membesarkan anak.


Kasih sayang mengubah persepsi seorang ibu dan bapa terhadap anak. Daripada satu beban yang menyulitkan, menjadi satu cahaya mata yang membahagiakan. Umpamanya, seorang bapa yang mempunyai ramai anak, kadang-kadang rasa terbeban dengan tanggungjawab yang semakin bertambah dan perbelanjaan yang besar. Ibu pula kadang-kadang terlintas betapa sakitnya mengandung dan melahirkan anak-anak seorang demi seorang. Betapa letihnya menjaga dan melayan kerenah di anak. Tetapi setelah mendengar tangisan pertama anak yang lahir maka susutlah beban yang terasa. Setelah diamati wajah barisan anak-anak yang sedang nyeyak, maka hilanglah keletihannya. Apabila menyaksikan anak-anak bermain riang di taman, maka luputlah kesakitan lampau. Apa lagi jika si anak menjadi seorang yang soleh dan berjaya. Semua senario ini adalah nikmat kasih sayang semulajadi kurniaan Allah kepada kita.


Naluri kasih sayang dan peranannya dalam pendidikan anak-anak



Dalam konteks pendidikan, naluri kasih sayang ini dapat berperanan dalam tiga keadaan iaitu:
Pertama, Allah menjadikan naluri kasih sayang ini agar manusia menjadikan usaha mendidik anak itu satu yang menyeronokkan. Sambil girang menimang anak si bapa boleh menyelitkan acah-acahnya dengan unsur tarbiyah. Sambil leka mendodoinya, si ibu boleh mengalunkan lagu-lagu yang membangkitkan jiwa, iman dan semangat juang. Sambil seronok bergurau senda, bertempuk tampar, si ibu dan ayah boleh melatih mereka erti kerjasama dan mementing diri, erti timbang rasa dan keegoan, erti ketaatan dan keengkaran, erti sopan dan biadap, serta erti dosa dan pahala. Sambil bahagia bersiar-siar dan berkelah, anak-anak boleh diajar soal-soal ketuhanan, tatacara ibadah, keluhuran akhlak dan teknik bermasyarakat. Ringkasnya, segenap aktiviti yang menyeronokkan itu boleh berubah wajahnya menjadi medan tarbiyyah insaniyah.


Kedua, naluri kasih sayang mencipta ketabahan dan kegigihan mendidik buat ibu dan bapa. Kadang-kadang ibu dan bapa terasa letih mendidik anak. Nasihat demi nasihat. Pesanan demi pesanan. Terugan demi teguran. Tapi anak tetap tidak endahkan. Di sinilah perlunya ibu bapa mengubah naluri kasih sayang tadi kepada kesabaran dan kegigihan yang tidak kunjung henti. Pandanglah air muka anak-anak. Belai mereka tika berkomunikasi. Luahkan rasa sayang dan harapan. Teruskan usaha tarbiyah itu secara berterusan dengan penuh kesabaran.


Ketiga, fitrah kasih sayang dalam jiwa manusia juga mendorong pengorbanan luar biasa si ibu dan bapa terhadap anak-anak. Pengorbanan yang lahir dari kasih yang ini dapat membina momentum semangat dalam mendidik anak. Bagi si ibu dan bapa, biarlah masa, kudrat empat kerat, wang mencurah-curah, bahkan nyawa dikorbankan, asalkan anak-anak menjadi manusia yang berjaya. Bahkan sejuta keperitan dan penderitaan mampu diharungi dengan tabah semata-mata untuk membesarkan dan mendidik anak. Allah s.w.t. tentunya tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja. Allah menjamin rahmatnya kepada ibu dan bapa yang mengasihi dan merahmati anak-anaknya.


Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. katanya: Seorang wanita telah datang kepada Sayyidatina Aisyah r.a. Maka Aisyah memberikan kepadanya tiga biji kurma. Kemudian, wanita itu memberikan dua biji kurma kepada dua orang anaknya. Sebiji lagi dipegang untuk dirinya. Setelah kedua-dua anak itu selesai makan kurma masing-masing, mereka pun meminta kurma yang masih ada di tangan ibunya. Lalu si ibu membahagikan kurma itu kepada dua, lantas memberikan kepada setiap seorang anaknya sebelah kurma. Apabila datang Rasulullah s.a.w. maka Aisyah menceritakan hal itu kepada Baginda. Lalu Baginda pun bersabda kepada Aisyah: “Kenapa pula adinda hairan dengan apa yang berlaku itu? Sebenarnya Allah telah merahmati si ibu itu sebagaimana dia merahmati anak-anaknya.”




Dalam kasih ada ujian


Walau bagaimana pun, kasih sayang kepada Allah tidak dapat mengatasi kasih sayang kepada anak-anak. Dalam kasih ada ujian. Kadang-kadang ibu bapa diuji dengan dua persimpangan. Antara perintah Allah dan rasa sayang pada anak. Tentunya yang patut dipilah ialah perintah dan redha Allah taala. Pada zahirnya, memilih perintah Allah bermakna ‘mengorbankan’ anak. Tetapi hakikatnya, itulah kemanisan dan keindahan dalam perasaan kasih kepada si anak. Sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim terpahat kukuh sebagai bukti bahawa kadang-kadang naluri kasih sayang itu terpaksa dilupakan demi perintah Allah.


Mungkin kisah Syaikh Hasan Al-Banna, seorang tokoh gerakan Islam abad ini boleh dijadikan contoh. Beliau adalah pemimpin dakwah yang mengorbankan seluruh tenaga, masa dan kudratnya untuk perjuangan Islam. Beliau sentiasa menjadikan sambutan Hari-hari Raya atau hari kebesaran sebagai peluang untuk mendekati golongan muda. Pada suatu Hari Raya, anaknya Saiful Islam telah ditimpa sakit yang berat sehingga hampir-hampir mati. Isterinya berkata: Kalau boleh, kanda bersama-samalah keluarga pada hari raya ini. Tambahan pula anak kita sedang sakit” Beliau menjawab: ’Sekiranya Allah bermurah untuk menyembuhkan anakku daripada penyakit, maka bagiNya segala pujian dan kesyukuran. Namun, jika Allah mentakdirkan dia meninggalkan kita, maka datuknya telah tahu mana jalan untuk ke kubur. Lalu dia membaca firman Allah dari ayat 24 Surah Al-Taubah yang bermaksud:


“Katakanlah, jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarha kamu, harta kekayaan yang kamu perolehi, barang perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sangat sukainya lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasulnya serta jihad pada jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah memberikan perintahnya sedang Allah tiada memberi petunjuk kepada orang-orang yang jahat”


Kasih sayang itu rahmat

Tegasnya, naluri kasih sayang itu adalah satu rahmat Allah yang amat berharga. Setitis nikmat kasih sayang ini, memberikan kita selaut manfaat dan kebaikan khususnya dalam usaha mendidik anak. Namun dalam keindahan asyik maksyuk kasih sayang kepada anak tersirat ujian kepada ibu dan bapa. Ujian yang perlu dilepasi bagi membuktikan bahawa kasih kepada Allah adalah mengatasi kasih sayang yang lain. Bahkan hakikatnya, kasih kepada anak itu berakar umbi daripada kasih, sayang serta rahmah Allah Azzawajalla.

1 comment:

  1. anak-anak jika dibentuk dengan acuan yg betul,maka hasilnya akan jadi baik...syabas untuk artikel yg menarik ni...

    ReplyDelete